Guru swasta disyaki lakukan gangguan seksual terhadap pelajar ditahan
ALOR SETAR – Polis menahan seorang guru lelaki di sebuah sekolah swasta di sini kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan Sabtu lalu, kira-kira pukul 4.45 petang.
Menurut beliau, siasatan dijalankan selepas polis menerima dua laporan daripada mangsa berusia 15 dan 25 tahun di Balai Polis Alor Setar.
“Laporan pertama dibuat pada 18 April oleh seorang bekas pelajar yang mendakwa menerima mesej berbaur lucah daripada suspek dan turut diajak melakukan hubungan seks.
“Mangsa tampil membuat laporan selepas mengetahui suspek turut mengganggu pelajar lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, laporan kedua diterima pada 19 April oleh mangsa lain yang mendakwa menerima mesej lucah, diminta menghantar gambar bogel dan turut diajak melakukan hubungan seks oleh suspek.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, media melaporkan seorang guru di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di sini ditahan polis susulan dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











