KDN siasat isu Jalur Gemilang tidak lengkap pada pameran bayi
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiasat satu video yang memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap dipaparkan dalam sebuah ekspo bayi di ibu negara, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, aspek siasatan akan dilaksanakan sama seperti yang dibuat dalam siasatan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan sebuah akhbar.
“Saya ambil peluang ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa bendera ini adalah lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud di sebaliknya.
“Jadi, sebarang bentuk kelalaian, kecuaian, kealpaan yang boleh mengundang rasa resah dalam kalangan masyarakat sebaik-baiknya (wajib) dielakkan,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan KDN, di sini hari ini.
Tular di media sosial baru-baru ini, Jalur Gemilang yang dipaparkan di belakang pentas gerai sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran tersebut tidak mempunyai simbol bulan sabit sehingga mencetuskan kritikan orang ramai.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai siasatan terhadap Sin Chew Daily, Saifuddin Nasution berkata siasatan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Respons (Sin Chew Daily) kita terima semalam dan kami akan teliti dulu dan kemudian kami mengambil tindakan ke atas akhbar itu,” katanya lagi
Pada 17 April, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Penahanan mereka disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain namun memberitahu, mereka dibebaskan beberapa jam selepas itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







