BERITA SEMASA

Isu seragam kakitangan: CEO pos Malaysia mohon maaf

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer, tampil memohon maaf susulan kenyataan terdahulunya yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warga kerja syarikat tersebut berhubung isu pakaian seragam rosak.

Menurut Brewer, kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini seharusnya lebih berempati dan mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan kakitangan.

Tangkap layar berkenaan isu pakaian seragam Pos Malaysia BHD yang tular di media sosial. – Gambar media sosial 

“Saya memohon maaf kepada kakitangan yang terkesan serta mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan saya.

“Saya akui respons tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan dalam nada sedemikian,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

 

Tambahnya, pihak pengurusan komited untuk memperkukuh budaya kerja yang saling menghormati dan menyokong semua warga Pos Wira.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial oleh seorang kakitangan Pos Malaysia yang meluahkan rasa kecewa berikutan pakaian seragamnya yang rosak dan masih belum diganti, meskipun telah menunggu sekian lama.

Kenyataan awal Brewer yang menyifatkan kakitangan tersebut sebagai “bernasib baik” kerana masih menerima pakaian seragam, berbanding sesetengah syarikat penghantaran asing yang tidak menyediakan pakaian rasmi langsung, telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak.

Susulan itu, beliau menegaskan bahawa isu tersebut telah pun diselesaikan sepenuhnya setelah pihaknya berhubung secara langsung dengan kakitangan terbabit.

“Kami telah mengambil tindakan segera dan sedang menambah baik proses dalaman agar penggantian pakaian seragam dapat dilakukan dengan lebih pantas dan teratur.

“Komitmen ini dibuat bagi memastikan setiap anggota Pos Wira dapat menjalankan tugas mereka dengan selesa dan yakin, demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pos Malaysia turut merakamkan penghargaan atas perhatian dan sokongan yang diberikan oleh orang ramai berhubung isu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button