AGAMABERITA SEMASA

Kekalkan semangat Ramadan: Istiqamah adalah tanda keimanan

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru umat Islam agar terus istiqamah dalam melakukan kebaikan dan ibadah selepas berlalunya bulan Ramadan.

Melalui sebuah poster peringatan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini, JAKIM menekankan bahawa semangat ibadah yang dibina sepanjang Ramadan tidak seharusnya terhenti apabila Syawal menjelang.

Menurut JAKIM, kejayaan melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan adalah satu permulaan yang baik, namun lebih utama ialah usaha untuk mengekalkan momentum itu sepanjang hayat.

Poster yang dikeluarkan JAKIM mengingatkan umat Islam agar terus istiqamah selepas berakhirnya Ramadan.

“Antara bentuk istiqamah dalam kehidupan seorang Muslim ialah melaksanakan segala yang wajib mengikut sunnah Rasulullah SAW, menambah ibadah sunat sebagai pelengkap kepada amalan wajib, menjauhi perkara yang haram dalam setiap aspek kehidupan dan melaksanakan amanah dan tanggungjawab secara berterusan dan penuh konsisten,” demikian menurut perkongsian poster tersebut.

Seruan itu bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sufyan bin Abdillah RA:

“Aku bertanya: Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku satu perkataan dalam Islam yang tidak perlu aku bertanya kepada sesiapa pun selainmu. Baginda SAW bersabda: Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Istiqamah bukan hanya bermaksud berterusan dalam ibadah, tetapi juga melibatkan keteguhan hati dalam memelihara prinsip agama, menolak maksiat dan terus melangkah di jalan yang benar meskipun diuji pelbagai cabaran.

Justeru itu, JAKIM menyeru seluruh umat Islam untuk menjadikan Ramadan sebagai titik mula pembinaan diri yang lebih taat, berdisiplin dan dekat dengan Allah SWT, bukan sekadar untuk sebulan, tetapi sepanjang hayat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button