JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan akhir Kerajaan Perlis ditolak, status agama anak-anak Loh kekal

PUTRAJAYA – Usaha Kerajaan Negeri Perlis untuk mengembalikan status Islam ke atas tiga anak Loh Siew Hong menemui titik noktah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan yang dikemukakan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, yang menyatakan permohonan tersebut gagal memenuhi ambang keperluan untuk disemak oleh mahkamah tertinggi negara.

“Mahkamah tidak melihat wujudnya sebarang ketidakadilan dalam keputusan sebelum ini dan mendapati permohonan semakan ini tidak mempunyai merit,” katanya memetik laporan NST online.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Kerajaan negeri Perlis memfailkan permohonan itu pada 30 Oktober tahun lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menolak permohonan kebenaran merayu oleh kerajaan negeri serta tiga pihak lain.

Dalam permohonannya, kerajaan Perlis mendakwa keputusan terdahulu telah menjejaskan hak mereka untuk didengar dan memohon agar permohonan tersebut didengar semula.

Namun pada 14 Mei lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan kebenaran merayu oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta kerajaan negeri, dengan menyatakan bahawa isu yang dibangkitkan telah pun diputuskan dalam kes terdahulu membabitkan Indira Gandhi pada 2018 berhubung penukaran agama anak secara sebelah pihak.

Sebelum itu, pada 10 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Loh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan tiada bukti anak-anaknya tidak lagi mengamalkan Islam ketika berada di bawah jagaan beliau.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sekaligus mengakhiri semua usaha perundangan oleh kerajaan negeri Perlis untuk menukar semula status agama anak-anak Loh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button