Penjual belon enggan patuh arahan, tolak anggota penguatkuasa – DBKL
KUALA LUMPUR – Kekecohan di antara seorang penjaja belon dengan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, berpunca daripada keengganannya mematuhi arahan.
DBKL dalam satu kenyataan hari ini berkata, teguran juga sudah diberikan namun tidak diendahkan sebaliknya individu tersebut bertindak agresif apabila teguran masuk kali ke-3.
Katanya, penjaja tersebut melakukan tindakan agresif dengan menolak anggota penguatkuasa yang sedang melaksanakan tugasan.
“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden yang lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaja terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.
“Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” kata kenyataan itu, hari ini.
DBKL bagaimanapun akan tetap menjalankan siasatan terhadap anggota penguat kuasanya yang terlibat dalam insiden berkenaan termasuk penelitian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan.
“DBKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum. Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman,” kata kenyataan itu lagi.
DBKL juga turut memberitahu, insiden tersebut telah dilapor kepada pihak polis oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Justeru, DBKL memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan selain turut menyeru agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








