AGAMA

Hukum ‘anak susuan’ dari pengambilan hormon

DALAM era perubatan moden, persoalan berkaitan penyusuan semakin bercambah. Ini termasuklah isu anak susuan daripada ibu yang mengeluarkan susu hasil pengambilan hormon.

Justeru, ada yang bertanya, adakah status anak susuan itu sah di sisi syarak?

Baru-baru ini, penyanyi terkenal Datin Alyah yang popular dengan lagu Sesal Separuh Nyawa itu mengakui sudah menjadi ibu susuan kepada anak angkatnya, Nur Izzara.

Bagaimanapun, pengakuan Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan, 44, itu mengundang persoalan dalam kalangan netizen hingga ada yang mengatakan hukum berkaitan anak susuan itu tidak sah.

Antara komen netizen yang mempersoalkan hukum Alyah sebagai ibu susuan melalui pengambilan hormon.

Mengulas mengenai situasi ini, Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa, Ustazah Amienah Ridzwan berkata, dalam fiqh Islam, terdapat tiga syarat menjadi anak susuan.

“Pertama bayi itu mestilah berusia dua tahun ke bawah. Kedua, penyusuan mestilah sebanyak lima kali kenyang dan ketiga susu yang diminum adalah susu ibu, sama ada diambil secara langsung atau melalui botol susu.

“Jika seorang wanita menghasilkan susu melalui pengambilan hormon dan menyusukan bayi dengan memenuhi syarat di atas, maka bayi tersebut sudah dianggap sebagai anak susuan yang sah menurut Islam.

“Namun, perlu difahami bahawa suami kepada ibu susuan tersebut, akan menjadi mahram kepada bayi susuan dengan sebab perkahwinan ibu susuan dengan suaminya.

“Ini bererti anak-anak susuan isteri yang perempuan akan menjadi mahram kepada suami kerana mereka tergolong antara wanita yang haram dinikahi oleh suami tersebut dengan sebab susuan dan perkahwinan (musoharah),” jelas Ustazah Amienah kepada Malaysia Tribune.

Ustazah Amienah Ridzwan

Menurut Ustazah Amienah lagi, terdapat kaedah dalam agama Islam yang menjelaskan bahawa ‘akad (nikah) dengan anak-anak perempuan telah pun mengharamkan akad dengan ibu-ibunya pula, manakala bersetubuh dengan ibu mengharamkan pernikahan dengan anak-anak perempuannya.’

Ia sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Nisa ayat 23 yang bermaksud: “Dan diharamkan berkahwin dengan anak-anak tiri yang dalam pemeliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri.”

Jelas beliau, menurut Islam anak susuan adalah anak yang meminum susu yang terhasil dengan sebab persetubuhan namun jika susu terhasil dengan sebab pengambilan hormon ianya dipanggil sebagai anak susuan buat si isteri dan anak tiri susuan buat si suami.

“Dan perlu difahami di sini, bahawa dalam konsep keluarga tiri, ahli keluarga ayah tiri, tidak akan menjadi mahram kepada anak susuan.

“Secara ringkasnya, hubungan mahram yang terbentuk dalam situasi ibu yang mengambil hormon untuk penghasilan susu, adalah di antara keluarga ibu susuan dan ayah tiri sahaja. Tiada hubungan mahram terbentuk di antara datuk iaitu bapa kepada ayah tiri susuan, juga adik beradik ayah tiri susuan dengan anak susuan tersebut,” terangnya.

Menurut Ustazah Amienah, terdapat dalil dan hukum penyusuan di dalam agama Islam yang mulia ini.

“Dalam Islam, penyusuan bukan sekadar memberi zat kepada bayi, tetapi juga membentuk hubungan mahram yang berkekalan,” ujarnya.

Jika seorang wanita sudah menjadi ibu susuan kepada seseorang bayi, maka suaminya juga telah menjadi bapa susuan bayi tersebut.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW melalui hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Hubungan susuan itu menjadikan haram (perkahwinan) sebagaimana hubungan keturunan.”

Tegas Ustazah Amienah lagi, Islam adalah agama yang fleksibel tetapi ia tetap berpandu kepada hukum dan dalil yang telah ditetapkan.

Persoalan tentang susu yang terhasil daripada hormon mungkin tidak wujud pada zaman Rasulullah SAW, tetapi hukum-hakam Islam tetap relevan dengan situasi moden masa kini.

Apa yang penting adalah pematuhan kepada syarat asas penyusuan dalam Islam. Jika syarat tersebut dipenuhi, maka status anak susuan adalah sah dan hukum mahram pun terpakai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button