Panglima ATM ke-23 Mohd. Nizam mula tugas secara rasmi hari ini
KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar, memulakan tugas beliau secara rasmi di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.
Mohd. Nizam tiba pada sekitar pukul 9.30 pagi sebelum disambut Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang memberikan tabik hormat di Dataran Wisma Pertahanan.
Turut diadakan, persembahan pancaragam ATM dan Mohd. Nizam kemudiannya membuat pemeriksaan barisan sebelum masuk ke bangunan Wisma Pertahanan.
Untuk rekod, Mohd. Nizam merupakan individu kedua yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara sedia ada, dilantik ke jawatan tersebut, selepas Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail.

Terdahulu Mohd. Nizam dilantik menjadi Panglima ATM ke-23 menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama ATM dalam Majlis Serah Terima Tugas pada 31 Januari lalu.
Mohd Nizam merupakan graduan Royal Military Academy Sandhurst, England, selain graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Nottingham dan dianugerahkan sebagai Fellow Scholar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Beliau juga berjaya menamatkan pengajian di Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya dengan cemerlang dan dianugerahkan The National Resilience College (NRC) Award.
@malaysiatribune Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima Angkatan Tentera ke-23 Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar, memulakan tugas pada hari pertama beliau di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. Menerusi ucaptama, Mohd Nizam yakin ATM mampu menjadi organisasi yang disegani dan dihormati di peringkat nasional mahupun antarabangsa. #malaysiatribune #ATM #mindef
Kerjaya ketenteraan beliau bermula sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring kepada Timbalan Panglima Tentera Darat (1989 – 1990) dan Panglima Tentera Darat (1990 – 1992).
Di atas kewibawaan dan dedikasi ditunjukkan sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat, Mohd Nizam telah diberi kepercayaan menjadi Juruiring kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 (2011 – 2016).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















