Berita Semasa

Isu kalimah Allah: Menteri beri jaminan akan bekerjasama dengan KDN

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan terus melindungi dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kementeriannya akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memastikan kesucian kalimah itu terpelihara termasuk lain-lain kalimah suci di sisi agama Islam.

 Beliau juga yakin, KDN akan meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas berhubung isu tersebut terutama terhadap sebarang bentuk pelanggaran pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“(Kami) mengambil maklum pendirian KDN dalam ketetapan enakmen negeri-negeri dan Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Kami akan sentiasa menjunjung titah DYMM Sultan Johor dan DYMM Sultan Selangor untuk menjaga kemuliaan dan kesucian agama Islam termasuk penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memberikan reaksi berhubung isu kalimah Allah yang kini mendapat perhatian ramai.

“Orang ramai dinasihatkan agar bertenang dan mengambil sikap berhati-hati dalam memberi reaksi.

“Ini kerana ia berkaitan isu teknikal perundangan dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang tidak berasas bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian beragama,” katanya lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button