Feri Langkawi terkandas akibat tali hanyut
KANGAR – Akibat tali hanyut, seramai 140 penumpang dan kru sebuah feri dari Langkawi ke Kuala Perlis terkandas selama hampir lima jam pada kira-kira pukul 8 malam tadi.
Menurut sumber daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), feri tersebut terkandas kira-kira 2.5 batu nautika barat daya Kuala Perlis akibat kipasnya tersangkut pada tali tersebut.
“Aset APMM dikerah ke lokasi kejadian bagi memantau kerja menunda yang dilakukan oleh syarikat feri berkenaan dan semua penumpang selamat tiba di Terminal Feri Kuala Perlis pada 12.20 tengah malam tadi,” kata sumber tersebut, malam tadi.
Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom ketika dihubungi berkata, feri itu terkandas ketika perjalanan berbaki hanya 0.9 kilometer.
“Kipas feri berkenaan tersangkut tali yang dipercayai hanyut di perairan berkenaan menyebabkan perjalanannya tergendala dan kami telah menghantar bot penunda dan semuanya selamat,” katanya.