Setahun di KUSKOP: Ramanan pacu aspirasi Kerajaan MADANI
HARI ini 12 Disember 2024, genap setahun Datuk Seri R. Ramanan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP).
Sepanjang tempoh tersebut, memperkasa ekonomi komuniti India kekal menjadi salah satu daripada keutamaan beliau. Komitmen itu seiring dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, pelantikan Ramanan sebagai Timbalan Menteri telah membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi komuniti India.
Beliau telah mengetuai pelbagai inisiatif strategik untuk memperkukuh ekonomi masyarakat ini dengan peruntukan berjumlah RM136 juta dalam tempoh 12 bulan itu.
Ramanan menegaskan bahawa semua inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja menyasarkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga mewujudkan peluang perniagaan yang lebih inklusif.

Tujuh inisiatif utama
Antara inisiatif utama yang dirancang dan dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau ialah:
1. Dana tambahan RM30 juta untuk program SPUMI (Special Programme for Indian Micro-entrepreneurs) yang bertujuan membantu usahawan kecil India memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
2. GOES BIG di bawah Tekun Nasional yang memfokuskan pembangunan perniagaan berskala besar dalam komuniti India.
3. RM50 juta untuk pemerkasaan wanita India melalui program PENN (Prosperity, Empowerment and New Normal) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia yang memberi sokongan kepada usahawan wanita.
4. RM50 juta melalui Bank Rakyat untuk program BRIEF-i (Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing) yang memberikan kemudahan pinjaman kepada usahawan India.
5. RM6 juta geran untuk i-BAP (Indian Business Accelerator Programme) melalui SME Corp, menyokong inovasi dan daya saing perniagaan India.
6. Program Vanakam MADANI, platform untuk penyampaian maklumat mengenai peluang keusahawanan.
7. Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI 2024), yang julung kali diadakan untuk menggariskan hala tuju koperasi India di Malaysia.
Menurut Ramanan, lebih 10,000 usahawan India telah mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut, menjadikan tahun pertama beliau dalam pentadbiran KUSKOP sebagai tahun yang penuh pencapaian.

Untuk memastikan keberkesanan setiap program, Ramanan sendiri mengetuai pasukan pemantauan untuk menilai prestasi dan menyelaras tindakan susulan berdasarkan KPI yang ditetapkan.
Memacu perubahan dan menoktahkan kemiskinan
Kerajaan MADANI turut mencatat kejayaan besar dalam usaha membasmi kemiskinan tegar. Dengan strategi sistematik, jumlah miskin tegar yang sebelum ini mencecah 17,000 orang kini hanya tinggal dalam lingkungan tiga angka.
Pendekatan ‘memberi kail berbanding ikan’ diterapkan melalui program latihan keusahawanan dan pembiayaan mikro, membolehkan komuniti India menjadi lebih berdikari dari segi ekonomi.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menjelaskan, program pembiayaan mikro, seperti yang ditawarkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, memainkan peranan penting dalam transformasi itu.
“Dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah, kurang daripada satu peratus, program ini membantu usahawan membangun perniagaan mereka dengan risiko yang minimum.
“Apabila komuniti India dapat mengukuhkan ekonomi sendiri, dana untuk golongan miskin tegar boleh dialihkan untuk membantu golongan lain, seperti mereka yang berada dalam kategori miskin. Ini akan meningkatkan taraf hidup masyarakat secara keseluruhan,” jelas beliau dalam satu temubual khas bersama agensi berita BERNAMA.
Cabaran dan harapan
Dalam tempoh setahun, Ramanan mengakui bahawa cabaran tetap wujud. Salah satunya ialah keengganan sesetengah penerima manfaat untuk mempromosikan program-program bantuan kerana bimbang peluang masa depan mereka terjejas.
Justeru, beliau menyeru penerima manfaat untuk melihat perkara ini sebagai peluang bagi membantu lebih ramai usahawan India menikmati manfaat yang sama.

Beliau juga menekankan kepentingan penglibatan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dalam memperkukuh struktur program untuk komuniti India.
Meskipun terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa inisiatif, beliau yakin bahawa kepimpinan MITRA yang baharu akan membawa perubahan yang lebih positif.
“Sebagai langkah tambahan, kita sedang merancang untuk melibatkan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Unit Integriti dalam mesyuarat penting, untuk memastikan setiap keputusan dibuat dengan telus dan berintegriti,” kata beliau.
Rancangan masa depan
Kajian terperinci sedang dilakukan untuk menambah nilai kepada program sedia ada dan memastikan semua inisiatif terus relevan dan berkesan.
Ramanan juga menyatakan penghargaan beliau terhadap Perdana Menteri yang kerap mengadakan perjumpaan bersama pimpinan komuniti India untuk mendengar pandangan mereka.

Menurut beliau, pendekatan Perdana Menteri yang inklusif telah membawa dimensi baharu kepada pentadbiran negara.
“Saya yakin bahawa usaha bersama di bawah Kerajaan MADANI akan terus membawa perubahan positif, bukan sahaja untuk komuniti India tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Ini adalah tanggungjawab kita sebagai sebuah kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang adil dan saksama,” ujar Ramanan.
Dengan rekod pencapaian yang memberangsangkan, Ramanan optimis bahawa masa depan komuniti India akan terus cerah, selari dengan visi Kerajaan MADANI yang menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















