SUKANBERITA SEMASA

Piala Tun Ali 2024: Putrajaya bersemangat tembus peringkat kumpulan

MELAKA – Kejohanan Piala Tun Ali 2024 membuka tirai dengan 20 pasukan terbaik dari seluruh negara bersaing dalam tiga kategori utama: beregu lelaki, regu lelaki dan beregu wanita.

Pasukan sepaktakraw Putrajaya, yang menyertai kategori beregu lelaki dan regu lelaki, bakal memulakan kempen mereka malam ini dengan perlawanan sengit menentang PDRM dalam kategori beregu lelaki, Kumpulan A.

Pengurus pasukan, Shahzan Ismail, menegaskan keyakinannya terhadap pasukan meskipun mengakui saingan di peringkat kumpulan tidak mudah.

“Fokus utama kami adalah melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu. Selepas itu, kami akan menilai peluang untuk melangkah lebih jauh.

Dengan gabungan pengalaman dan semangat pemain, saya percaya kami mampu memberikan saingan terbaik,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Pasukan Putrajaya mempertaruhkan gandingan Shohibul Fadilah Abd Selam dan Aniq Arsyad Abd Hamid sebagai taruhan utama dalam kategori beregu lelaki, Kumpulan A.

Dalam kategori regu lelaki, Kumpulan C, nama-nama seperti Mohammad Syahril Rosdi, Muhammad Aiman Hakim dan Mohd Firdaus Mohamad menjadi sandaran untuk mencipta kejayaan.

Pemenang kejohanan itu bakal membawa pulang hadiah wang tunai lumayan bersama piala iringan dan pingat. Dalam kategori beregu lelaki, johan dijanjikan hadiah RM15,000, manakala beregu berpasukan dan beregu wanita masing-masing menawarkan hadiah utama RM10,000 dan RM5,000.

Selain itu, penghargaan khas seperti Tekong Terbaik, Apit Kanan Terbaik dan Apit Kiri Terbaik turut menanti pemain terbaik dalam kategori beregu lelaki, masing-masing menerima RM500.

Piala Tun Ali tidak hanya sekadar pentas persaingan, tetapi juga menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam arena sepaktakraw tempatan.

Dengan perlawanan malam ini antara Putrajaya dan PDRM dijangka berlangsung sengit, harapan tinggi diletakkan kepada kedua-dua pasukan untuk memulakan kempen mereka dengan langkah kanan.

Kejohanan itu terus menjadi bukti komitmen terhadap pembangunan sukan sepaktakraw di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button