Kerajaan negeri Selangor akan bangunkan pusat transit percuma di perpustakaan awam
Wujudkan persekitaran kondusif, selamat dan selesa kepada anak-anak selepas waktu sekolah
SHAH ALAM – Kewujudan khidmat transit percuma di perpustakaan awam dapat menyediakan persekitaran kondusif, selamat dan selesa kepada anak-anak selepas waktu sekolah.
Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, 13 dari 104 cawangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan dibangunkan sebagai ‘Mesra Transit’ terutama ketika peralihan sesi dan selepas waktu persekolahan bagi pelajar sekolah rendah serta menengah.
“Sebanyak 13 perpustakaan terlibat dalam projek perintis ini yang dilengkapi kemudahan bilik air lengkap termasuk pancuran air (shower) untuk mandi.
“Selain itu, transit berkenaan turut mempunyai kafe atau pantri bagi memudahkan anak-anak makan sebelum pergi sekolah atau habis sekolah juga tempat solat dan rehat yang selesa,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Anfaal berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur yang ingin tahu inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan kebajikan dan pendidikan kanak-kanak.
Anfaal turut memberitahu, kerajaan negeri turut melaksanakan program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak untuk memupuk kesedaran kepada pelajar dan guru berkenaan hak dan keselamatan kanak-kanak.
“Program melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Ia telah dijalankan di 11 sekolah termasuk di semua daerah di Selangor serta di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak PPR HICOM,” katanya lagi.