Berita Semasa

Insiden selisih faham pegawai ATM dan fasilitator jemputan selesai, laporan polis ditarik balik

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan insiden perselisihan faham antara pegawai kaunselingnya dengan seorang fasilitator jemputan pada 8 November lalu di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Kem Perdana Sungai Besi di sini.

Menurut ATM dalam satu kenyataan, fasilitator jemputan tersebut yang juga pesara tentera diundang oleh Cawangan Tenaga Kerja, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas ATM (BPA-CTK) bagi menjayakan sesi ceramah motivasi dan perkongsian pengalaman bersama pegawai kadet ALK yang baharu menyertai bidang ketenteraan.

Katanya, insiden berlaku ketika sesi ujian psikologi dan kesihatan mental sedang
dilaksanakan terhadap kumpulan pegawai kadet ALK itu yang dikendalikan oleh pegawai kaunseling ATM terbabit.

“Pada ketika itu telah berlaku gangguan teknikal pada sistem ujian atas talian yang tidak disengajakan menyebabkan sesi ujian itu berlanjutan sehingga melebihi masa yang ditetapkan.

“Maklumat kelewatan ini telah disampaikan kepada fasilitor jemputan terbabit secara lisan oleh pegawai koordinasi daripada BPA-CTK di dewan tersebut.

“Namun setelah hampir 20 minit menunggu, fasilitator jemputan tersebut telah menghampiri sendiri pegawai kaunseling ATM itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut kerana sesi ceramah motivasi dan perkongsian pengalaman telah tertangguh dan tidak dapat dimulakan oleh beliau mengikut masa yang ditetapkan.

“Ini kerana beliau khuatir tidak dapat menghabiskan sesi ceramah tersebut kerana perlu bergegas ke lokasi lain bagi menghadiri satu majlis selepas sesi ceramah itu,” katanya hari ini.

Susulan itu, katanya, berlaku insiden pertengkaran dan perselisihan faham antara mereka yang kemudiannya dileraikan oleh pegawai koordinasi dari BPA-CTK.

Berlanjutan itu, katanya, kedua-dua mereka telah bertindak membuat laporan polis secara berasingan.

“ATM menegaskan bahawa, insiden ini adalah satu insiden perselisihan faham yang seharusnya boleh dielakkan oleh kedua-dua individu terbabit.

“Sehubungan itu, ATM telah mengambil langkah mengharmonikan semula keadaan dengan mengaturkan pertemuan kedua-dua individu terbabit.

“Atas dasar semangat kekitaan dan setiakawan warga dan pesara ATM yang sentiasa meletakkan ATM sebagai
lambang penyatuan, sesi pertemuan tersebut berakhir dengan penuh kemaafaan dan kedua-dua individu terbabit bersetuju menarik semula laporan polis yang telah dibuat sebelum ini,” katanya.

Tegasnya lagi, isu itu telah diselesaikan dengan berhemah justeru, ATM menyeru supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi buruk terhadap insiden yang berlaku ini.

Show More

Related Articles

Back to top button