YDPA titah Kementerian Pertahanan pandang serius kes buli di UPNM
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memandang serius kes buli yang berulang kali berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda bertitah, dalam pasukan tentera, latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, dan baginda sendiri pernah melalui latihan sedemikian.
Namun, ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa.
“Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook rasmi baginda, hari ini.
Baginda bertitah, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
Titah baginda lagi, kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Istana Negara, hari ini.
Laporan media kelmarin menyebut, terdapat satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, ketika kejadian mangsa sedang berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga dan kini dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di hospital.