Polis Australia tahan lelaki Malaysia disyaki terlibat seludup 100kg dadah
CYBERJAYA – Polis Persekutuan Australia (AFP) menahan seorang lelaki warga Malaysia baru-baru ini kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan 100 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine ke negara itu.
Suspek berusia 45 tahun itu ditahan selepas Pasukan Sempadan Australia (ABF) menemukan dadah tersebut yang disembunyikan dalam komputer menerusi kargo udara yang tiba dari Malaysia pada 16 Oktober lalu.
AFP dalam satu kenyataan berkata, dadah yang ditemukan adalah seberat 100kg tetapi tidak menyatakan nilai rampasan.
Katanya, pasukan ABF mengeluarkan semua dadah yang disembunyikan itu sebelum kiriman kargo berkenaan dilepas untuk penghantaran.
“Kiriman dihantar ke unit simpanan di Kingsgrove (selatan Sydney) pada 30 Oktober lalu sebelum kiriman diambil oleh suspek.
“Lelaki itu ditahan pihak AFP atas kesalahan cuba memiliki dadah kawalan sempadan dalam kuantiti komersial membabitkan 100 kg methamphetamine yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 307.5 Kanun Jenayah 1995 (Komanwel).
“Suspek dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Pusat Downing pada 31 Oktober lalu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup,” kata AFP dalam satu kenyataan.