Berita Semasa

Cikgu Din ditempatkan di sekolah berhampiran isterinya – Fadhlina

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan akan menempatkan seorang guru lelaki dikenali ‘Cikgu Din’ yang sedang diuji dengan masalah kesihatan isterinya di sekolah berhampiran dengan pasangannya buat sementara.

Memetik laporan Harian Metro, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata arahan penempatan sementara itu diambil hasil perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan.

Katanya, ia sekali gus membolehkan guru lelaki berkenaan dapat bersama dengan isterinya dalam tempoh sukar ini.

“Pertamanya, kita (KPM) merakamkan ucapan simpati kepada Cikgu Din atas keadaan yang berlaku terhadapnya dan kedua kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya (untuk membantu Cikgu Din).

“Buat masa ini, kita bagi ruang untuk dia bersama isterinya melalui arahan penempatan sementara dalam tempoh yang amat memerlukan ini.

“Jadi kita doakan sekali lagi supaya Cikgu Din diberikan kekuatan dan kesabaran manakala isterinya juga diberikan kesembuhan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan seorang guru lelaki yang mengajar di Sarawak ingin bertukar ke Semenanjung demi menjaga isterinya yang menghidap kanser.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Peluncuran Karnival Pendidikan Madani dan Program Kolej Vokasional (KV) Insani Masyarakat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Terdahulu, KPM dalam kenyataan di Facebook berkata, tindakan segera memberi bantuan kepada guru berkenaan termasuk diberikan cuti untuk berada bersama isterinya diambil.

Satu pertemuan dengan guru itu akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.

Dalam pada itu, Fadhlina ketika ditanya adakah tindakan itu diambil selepas perkara berkenaan tular di media sosial beliau berkata ia tidak betul.

“Ini tidak betul, saya ingat proses perbincangan dan juga bagaimana kita menawarkan alternatif-alternatif pada Cikgu Din telah berlangsung sebelum itu lagi.

“Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana perhatian itu pun sampai dan kita lihat begitu ramai masyarakat yang empati kepada keadaan Cikgu Din.

“Kita akan ambil perhatian penuh kepada semua (kes bukan saja berkaitan Cikgu Din) berdasarkan pertimbangan-pertimbangan yang ada,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button