Berita SemasaDalam Negeri

Sukan tradisional, sukan rakyat bakal meriahkan Karnival Liga Sukan UNITI tahun depan

BANGI – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mempertimbangkan untuk memasukkan acara sukan tradisional dan sukan rakyat ke dalam Karnival Liga Sukan UNITI bagi edisi tahun hadapan.

Langkah ini berikutan penyertaan menggalakkan yang diterima pada edisi tahun ini.

“Pada tahun ini, Karnival Liga Sukan UNITI Peringkat Negeri yang berlangsung pada bulan September dan Oktober telah menjadi satu platform yang sangat berjaya.

“Sehingga kini, jumlah penyertaan di peringkat negeri dan kebangsaan telah melebihi 2,300 pasukan dengan anggaran pemain 23,000 peserta dari seluruh negara,” kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Saraswathy Kandasami ketika merasmikan Karnival Liga Sukan Uniti Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Sukan merupakan antara unsur yang dilihat sebagai medium penyatuan pelbagai etnik yang paling berkesan di Malaysia, kerana rakyat Malaysia secara umumnya amat sinonim dengan semangat kesukanan yang tinggi dalam masyarakat.

“Karnival Liga Sukan UNITI dapat mewujudkan satu platform bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang kaum, bangsa dan agama.

“Karnival ini juga unik kerana ia menetapkan syarat penyertaan pasukan daripada kaum yang berbeza bagi membolehkan setiap pemain dapat bergaul, seterusnya dapat memahami, menghormati dan menerima setiap perbezaan yang wujud,” katanya lagi.

Berlangsung hingga esok, karnival dua hari ini dimeriahkan dengan acara badminton, bola jaring dan futsal.

Show More

Related Articles

Back to top button