Pelajar tahfiz maut terkena renjatan elektrik
BESUT – Seorang pelajar tahfiz di sebuah pusat tahfiz dekat Kampung Gong Penaga, Jabi di sini maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik semalam.
Memetik laporan Sinar Online, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian menimpa Muhammad Fahim Rasyidi Shariful Hadi, 17, dilaporkan berlaku sekitar jam 10.30 malam.
“Mangsa yang berasal dari Klang, Selangor dikatakan tidak sedarkan diri selepas terkena renjatan elektrik ketika memegang mentol untuk pergi membasuh tangan di sinki ketika hujan lebat.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, didapati pelajar lain telah mengangkat mangsa masuk ke dalam kereta.
“Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba dan telah dibawa ke Hospital Besut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Abdul Rozak berkata, mayat mangsa yang menuntut di Madrasah Tahfiz Al Quranil Hakim, di sini telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Katanya, keputusan ujian pengesanan COVID-19 ke atas mangsa adalah negatif dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.