Berita SemasaSukan

Kepercayaan jadi rahsia kejayaan Goh Sze Fei-Nur Izzudin

PETALING JAYA – Pasangan beregu lelaki negara yang sedang meningkat naik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menyifatkan rahsia kejayaan mereka pada tahun ini berpaksikan kepercayaan yang semakin kukuh antara satu sama lain.

Sze Fei-Nur Izzuddin berada dalam prestasi cemerlang apabila berjaya meraih gelaran ketiga dalam tempoh dua bulan selepas menjuarai Terbuka Artik pada Ahad lalu.

Pasangan bebas yang kini menduduki ranking ke-8 dunia itu mempamerkan aksi luar biasa dengan menewaskan beberapa lawan hebat termasuk pasangan nombor 6 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto, pasangan nombor 1 dunia dari China, Liang Weikeng-Wang Chang, serta juara bertahan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (ranking ke-2) dalam perjalanan mereka meraih gelaran tersebut.

Sebelum ini, Sze Fei-Izzuddin turut memenangi Terbuka Jepun dan China pada bulan lalu, dan berpeluang mengatasi pasangan nombor 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (ranking ke-4 dunia) jika mereka meneruskan prestasi cemerlang ini.

Sze Fei berkata, kepercayaan antara mereka adalah kunci kejayaan setakat ini dan mereka berhasrat untuk terus mencipta kejayaan.

“Kuncinya adalah saling mempercayai dan terus berusaha tanpa henti. Kami akan meneruskan apa yang kami lakukan sepanjang beberapa minggu ini, iaitu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Banyak detik tegang semasa perlawanan, dan penting untuk kami tidak hilang keyakinan antara satu sama lain.” katanya dalam temu bual selepas perlawanan bersama SPOTV.

Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin tidak mempunyai masa untuk meraikan kemenangan tersebut kerana mereka akan bertanding di Terbuka Denmark yang bermula hari ini di Odense.

Izzuddin berkata, kami menyedari akan berdepan tugas sukar untuk mengekalkan prestasi selepas minggu yang memenatkan.

“Ia merupakan perlawanan yang sangat sukar sejak dari suku akhir (di Terbuka Artik). Kami perlu bersedia dari segi mental dan fizikal,

“Kami melalui minggu yang sangat memenatkan dan perlu bersedia sekali lagi untuk Terbuka Denmark.” katanya lagi.

Sze Fei-Izzuddin akan berdepan cabaran getir pada pusingan pertama di Odense menentang pasangan nombor 10 dunia dari Taiwan, Lee Jhe-huei-Yang Po-hsuan. Jika mereka berjaya menang, mereka dijangka bertemu pasangan tuan rumah, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard (ranking ke-14 dunia) untuk merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara bertahan akan cuba bangkit selepas kekalahan mengejut kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy (ranking ke-16 dunia) pada pusingan kedua Terbuka Artik.

Aaron-Wooi Yik akan memulakan kempen mereka di Odense menentang pasangan nombor 20 dunia dari Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.

Beregu lelaki Malaysia lain yang turut bersaing di Terbuka Denmark termasuk Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor 4 dunia, Lee Zii Jia akan berdepan pemain nombor 13 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto, pada pusingan pertama, manakala Leong Jun Hao (ranking ke-29 dunia) bakal berdepan tugas sukar menentang pemain nombor 5 dunia dan naib juara Terbuka Artik, Jonatan Christie dari Indonesia.

Show More

Related Articles

Back to top button