Berita Semasa

Operasi apungkan KD Pendekar berjaya sepenuhnya – TLDM

CYBERJAYA – Operasi mengapungkan kembali kapal KD Pendekar yang karam pada 25 Ogos lalu, berjaya dilaksanakan sepenuhnya hari ini.

Menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal tersebut berjaya diapungkan pada pukul 4.38 petang tadi dan kini sedang menjalani proses pembaikan awal.

“Operasi salvaj KS Pendekar pada dasarnya telah dapat diselesaikan walaupun terdapat beberapa cabaran.

“Lokasi di mana kapal tersebut karam kini disahkan selamat dan tiada tinggalan peluru atau bahan letupan yang boleh mengancam keselamatan komuniti maritim khususnya yang sering menggunakan perairan tersebut,” kata TLDM dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

TLDM turut memaklumkan, pihaknya sedang turut menyiasat punca dan faktor yang menyebabkan kapal tersebut karam.

Dalam kenyataan sama, TLDM memaklumkan, nasib kapal berkenaan yang sudah berusia lebih daripada 45 tahun akan diputuskan bersekali dengan rancangan ‘Phasing In – Phasing Out’ kapal-kapal usang yang masih di dalam perkhidmatan secara menyeluruh selaras dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5.

Kapal penyerang laju (FAC) KD Pendekar karam pada 25 Ogos lalu di posisi 2 batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor, setelah dikesan mengalami kebocoran di bahagian buritannya, dipercayai akibat terlanggar objek yang belum dikenal pasti di dalam air.

Show More

Related Articles

Back to top button