BERITA SEMASA

Anggota TLDM terlibat insiden selepas latihan di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Sekumpulan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipercayai terlibat dalam satu insiden selepas menjalani latihan payung terjun di Laut China Selatan, semalam.

Perkara itu disahkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada NST, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jenis insiden berkenaan mahupun jumlah anggota yang terlibat.

“Mereka sedang menjalani latihan payung terjun bebas. Ia tidak melibatkan mana-mana pihak luar,” katanya.

Beliau berkata, TLDM dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, menurut sumber, cuaca buruk ketika kejadian menyebabkan anggota terlibat dihanyutkan dari kawasan pendaratan yang ditetapkan di salah sebuah stesen tentera laut luar pesisir TLDM di Laut China Selatan.

Laporan Harian Metro sebelum ini menyebut, enam anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dilaporkan hilang selepas menjalani latihan sebagai sebahagian daripada Eksesais Kerismas 29/26 di Pulau Layang-Layang, malam tadi.

Menurut laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan kapal KD Teguh dan KD Pahang berjaya menemui lima daripadanya kira-kira pukul 9 malam tadi.

Empat daripada mereka berada dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi mengalami kecederaan dipercayai akibat serangan jerung.

Kesemua anggota berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button