
‘Terima kasih dan selamat bersara Tan Sri!’
'Wira Rakyat' sewaktu pandemik Covid-19 akan bersara wajib mulai Jumaat ini setelah 35 tahun menabur bakti kepada negara
CYBERJAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menyatakan penghargaan beliau kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bersara wajib Jumaat ini.
Katanya, pengalaman Dr. Noor Hisham selepas 35 tahun menabur bakti untuk negara amat bermakna dan telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina perkhidmatan kesihatan rakyat setanding negara lain.

“Saya percaya khidmat Tan Sri tidak terhenti di sini, bahkan khidmat terbabit masih diperlukan untuk pembangunan perubatan dan kesihatan negara.
“Saya mewakili Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan selamat bersara dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Dr. Noor Hisham di atas jasa, khidmat bakti dan sumbangan beliau sepanjang perkhidmatannya di kementerian ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Dr. Zaliha turut berkongsi gambar majlis persaraan Dr. Noor Hisham yang diadakan bersama warga KKM, semalam.
Dr. Noor Hisham memegang jawatan itu sejak 2013 dan sepanjang lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlangnya, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan akibat Covid-19.
Malah, beliau juga dianggap ‘wira rakyat’ melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan pandemik itu.
Dr. Noor Hisham turut dinamakan antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaannya menangani krisis Covid-19.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















