Berita Semasa

Dakwaan kerajaan diskriminasi kumpulan tertentu dapat akses pendidikan tidak benar

PUTRAJAYA – Dakwaan kerajaan cuba mendiskriminasi kumpulan tertentu daripada mendapat akses pendidikan adalah tidak benar, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Zambry menegaskan, kerajaan berusaha untuk memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh semua golongan di Malaysia.

Jelas beliau, dasar kepada akses pendidikan juga tidak berubah, malah ia akan terus memberi manfaat kepada golongan pendidikan rendah sehingga tinggi.

“Saya ingin memperbetulkan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi seolah-olah kerajaan ini tidak tahu, atau pun (mendakwa) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak tahu realiti yang ada (kononnya) mengatakan bahawa orang kaya tidak akan pergi ke universiti ataupun tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

“Ini adalah satu pandangan yang bermain dengan sentimen politik dan sebab itu apabila kita menyuarakan pandangan ini, kita mahu supaya kalau ada pun pandangan atau kritikan, berikan pandangan yang membina supaya kerajaan boleh melihat dari perspektif yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di sini, hari ini.

Zambry (dua kiri) menyerahkan hadiah kepada Pensyarah Kanan bahasa Melayu Universiti Malaya (UM), Professor Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid yang dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Terdahulu, timbul kritikan kononnya kerajaan cuba mendiskriminasi kumpulan tertentu susulan wujud cadangan untuk menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak-anak golongan kaya.

Sebelum ini, Perdana Menteri memberi bayangan bahawa kerajaan akan menghentikan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan kaya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa perkara itu merupakan antara intipati dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.

Semalam, Zambry dilaporkan berkata, penarikan subsidi pendidikan daripada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hanya akan dilaksana selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Sementara itu, Zambry menasihatkan mana-mana pihak agar tidak memanipulasi apa yang disuarakan oleh Perdana Menteri berhubung isu subsidi pendidikan berkenaan kerana ia merujuk kepada sektor pendidikan tinggi.

“Dasar kerajaan untuk memberi peluang kepada semua peringkat, semua kalangan sama ada mereka daripada B40, M40 termasuk juga T20 untuk masuk ke universiti adalah sama.

“Tetapi pada masa sama, kita perlu melihat juga kemampuan kewangan terutama dalam kalangan keluarga susah dan sukar mendapat tempat belajar, ini kita berikan keutamaan,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button