Rangka manusia ditemukan dalam loji kumbahan
KOTA TINGGI – Pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan satu rangka manusia di loji kumbahan di Taman Seri Penawar, Bandar Penawar, di sini semalam.
Menurut Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, laporan tersebut diterima daripada kontraktor yang menjalankan kerja pembersihan di lokasi berkenaan.
Katanya, susulan laporan, pihaknya dengan dibantu unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kemudiannya digerakkan ke lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai kain pelikat tersangkut pada mesin kisar tapis sampah.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Penawar turut memberikan bantuan dengan mengeluarkan rangka serta tulang yang ditemukan tersangkut di tengah mesin kisar tapis sampah itu.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh yang dibuat di lokasi kejadian, pihak polis menemukan satu tengkorak, tujuh ketul tulang panjang, sepasang tulang pinggul dan segumpal rambut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.
Spesimen tulang tersebut telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Asnalisz Zainal di talian 016-444 6871 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis daerah Kota Tinggi ditalian 07-883 7222,” katanya lagi.