Berita SemasaSukan

FAM ucap terima kasih kepada PM

Akan adakan pertemuan bincang mengenai pengurusan

PETALING JAYA – Perstuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak itu amat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memperkasakan skuad kebangsaan.

“Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM serta warga FAM menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Anwar dan kerajaan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

“Sudah tentu FAM sangat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen Perdana Menteri dalam memberikan peruntukan tersebut selain beliau sendiri menyatakan secara peribadi untuk memantau dan membantu dalam usaha memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, kata Hamidin, FAM akan mengatur pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai pengurusan skuad negara.

“Kita akan bentangkan struktur organisasi pengurusan pasukan kebangsaan bagi merealisasikan usaha ini dengan satu tujuan iaitu untuk mengangkat pasukan Harimau Malaya menjadi salah satu pasukan gergasi di rantau Asia,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button