Lipas berkeliaran, restoran nasi kandar terkenal antara diarah tutup
GEORGETOWN – Sebuah restoran nasi kandar di Bukit Jambul di sini, diarah tutup selama 14 hari, mulai semalam.
Arahan itu susulan pemeriksaan pegawai penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut yang menjumpai lipas berkeliaran pada bekas simpanan sayur dalam peti sejuk premis berkenaan ketika pihaknya melaksanakan Op Merdeka.
Menurut Pegawai Operasi Unit Kualiti dan Keselamatan Makanan Pejabat Daerah Timur Laut, M Shashikumaran, restoran nasi kandar itu antara enam premis yang diarah tutup berikutan pelbagai kesalahan termasuk kebersihan yang tidak memuaskan.
Katanya, kesemua penutupan premis dilakukan mengikut Akta Makanan 1983.
“Operasi yang dijalankan sejak pagi sehingga jam 8 malam itu membabitkan pemeriksaan terhadap 17 premis termasuk restoran jualan nasi padang, nasi beriani, nasi ayam penyet, ‘kedai Acheh’ dan lain-lain lagi.
“Keseluruhannya sebanyak 21 notis berjumlah RM20,300 dikeluarkan yang mana 17 daripadanya mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan empat lagi mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985,” katanya, semalam.
Menurut Shashikumaran lagi, pihaknya juga turut merampas barangan yang sudah tamat tempoh selain makanan dengan label tiada alamat pengimport Malaysia.
“Barangan itu seperti minuman susu, biskut dan beberapa makanan harian yang keseluruhannya berjumlah RM2,624.20,” katanya lagi.