Berita Semasa

Lesen perniagaan tidak disambung jika abai kebersihan premis makanan – Dr. Zaliha

KUALA LUMPUR – Penyambungan lesen perniagaan tidak akan diluluskan terhadap mana-mana premis makanan di Wilayah Persekutuan yang gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif bagi tindakan lanjut.

“Saya sudah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Dr. Maimunah) untuk memastikan penguatkuasaan dibuat terhadap premis di Kuala Lumpur khususnya kebersihan.

“Jika didapati premis tidak mencapai tahap kebersihan yang optimum, kita tidak akan sambung lesen perniagaan mereka.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Dr. Zaliha yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena Hari Cuci Sedunia 2024 di Pasar Seni, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pogram Hari Cuci Sedunia 2024 yang dilaksanakan hari ini adalah bukti komitmen dalam menjaga imej negara, lebih-lebih lagi Malaysia akan menjadi Pengerusi Asean pada tahun depan.

“Ia adalah sebahagian daripada persiapan untuk menerima lebih ramai pelancong ke negara ini menjelang acara penting dan bersejarah,” kata Dr. Zaliha.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan susulan bagi memastikan kebersihan premis beeada di tahap yang ditetapkan.

Tambah Dr. Zaliha, setakat Julai lalu, sebanyak 417 premis makanan di sekitar ibu kota sudah ditutup kerana tidak menepati piawaian pembersihan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button