Bin Zayed International tarik diri dari projek Langkasuka bernilai RM40 bilion
KUALA LUMPUR – Syarikat pelaburan global, Bin Zayed International (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek pembangunan Langkasuka di Langkawi yang bernilai RM40 bilion dengan alasan kekurangan daya maju dalam projek tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan BZI, Sheikh Midhat Kidwai berkata, keputusan itu dibuat selepas syarikat mendapati projek berkenaan tidak lagi menawarkan nilai pelaburan yang berpotensi.
“Pada awalnya, kami melihat projek itu sebagai peluang pelaburan yang menarik. Namun, sejak 2022, kami tidak lagi melihat daya maju projek tersebut dan memutuskan untuk menarik diri.
“Kami kini memberi tumpuan kepada peluang persekutuan dan pembangunan hartanah dengan pulangan yang lebih pantas,” katanya selepas majlis perasmian pejabat baharu Bin Zayed International di Tun Razak Exchange, hari ini.
Menurut Sheikh Midhat, BZI telah mengenal pasti beberapa projek baharu untuk diteroka. Antaranya ialah projek di Kulim, Kedah yang infrastrukturnya telah siap, serta dua lagi projek di Kuala Lumpur yang masih menunggu kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau juga berkata, syarikat itu merancang untuk meluaskan operasi di rantau Asia Tenggara, bermula dengan Malaysia dan Singapura, sebelum meneroka potensi projek di Indonesia dan Thailand.
Bin Zayed International LLC sebelum itu menjalinkan kerjasama dengan Widad Group Bhd melalui perjanjian usaha sama yang dimeterai pada 7 Mac 2022. Usaha itu bertujuan membangunkan projek Widad@Langkasuka di Langkawi, namun perkembangan terkini menunjukkan kerjasama tersebut tidak lagi diteruskan.
Bin Zayed International LLC, merupakan anak syarikat BZI berpangkalan di Dubai, mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, tenaga, perdagangan, hartanah, teknologi dan kewangan.
Langkah penarikan diri itu mencerminkan pendekatan strategik BZI dalam memastikan setiap pelaburannya menawarkan pulangan yang mampan dan berdaya saing.