Restoran mamak di Johor cadang naikkan harga makanan 5 peratus tahun depan
JOHOR BAHRU – Kira-kira 300 restoran India Muslim atau mamak di Johor dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula lima peratus, mulai tahun hadapan.
Menurut Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim, kenaikan itu susulan peningkatan kos operasi disebabkan kenaikan berterusan harga bahan mentah.
Katanya, peningkatan kos operasi juga berlaku susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 mulai Februari depan.
“Kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat tinggi dan dijangka pelaksanaan gaji minimum mulai tahun hadapan, akan melonjakkan lagi kos operasi.
“Selain itu, kami juga perlu mula mencarum pekerja asing kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan ini juga akan menambah kos operasi kami.
“Peningkatan kos operasi sebenarnya susulan kenaikan harga bahan mentah berterusan susulan pemansuhan subsidi diesel yang terpaksa diserap kami.
“Bagaimanapun, kami masih tunggu dan lihat sebelum pelaksanaan kenaikan harga makanan bermula lima peratus mulai tahun depan. Ia bergantung kepada keputusan muktamad persatuan induk kami, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma),” katanya kepada portal BuletinTV3, hari ini.
Minggu lalu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIM), Datuk J Govindasamy dilaporkan sebagai berkata, kadar gaji minimum baharu diumumkan kerajaan akan menyebabkan kenaikan harga makanan antara 20 sehingga 30 peratus.
Dalam pada itu, Hussien berkata, ketika ini kebanyakan premis restoran India Muslim atau mamak menggajikan lebih 60 peratus pekerja asing.
Namun katanya, berikutan kenaikan kos operasi, kebergantungan terhadap pekerja asing di premis mereka mungkin perlu dikurangkan berikutan menggajikan golongan itu menjadikan kos operasi lebih mahal.
“Bagi setiap pekerja asing kami perlu membayar levi tahunan sebanyak RM2,300 seorang selain kos asrama dan makanan sehingga RM500 seorang sebulan selain gaji bersih mereka. Ini belum termasuk pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan caruman KWSP terhadap mereka nanti.
“Selepas ini, kami perlu mencari lebih ramai pekerja tempatan bagi mengurangkan kos operasi. Kami sanggup menawarkan gaji sehingga RM2,500 sebulan kepada pekerja tempatan, namun tidak ramai yang berminat,” katanya lagi.