Bisnes & Ekonomi

Ops Metro: LHDN, kastam bekerjasama buru pembayar cukai cash economy, warga asing

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha meningkatkan tahap pematuhan cukai supaya terus diperkukuh menerusi pelancaran Ops Metro 2024.

Menurut LHDN, operasi itu berlangsung selama empat hari bermula 19 Ogos 2024 hingga 22 Ogos ini di sekitar Lembah Klang.

“Pelaksanaan program kolaboratif LHDN
bersama JKDM ini merupakan siri kedua selepas Ops Gading yang telah diadakan di negeri Pahang pada 31 Julai yang lalu.

“Pelancaran operasi bersepadu ini melibatkan Jabatan Pematuhan Cukai, Jabatan Siasatan, Jabatan Perisikan dan Profiling, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Khas, Cawangan Pembayar Cukai Besar, Cawangan Guaman Lembah Klang, Cawangan Pematuhan Strategik serta pasukan pelaksana dari LHDN Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Objektif Ops Metro 2024 adalah untuk
meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai secara
menyeluruh dari segi pendaftaran fail cukai pendapatan, penghantaran borang cukai, pelaporan cukai dan bayaran cukai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin merasmikan majlis tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin

Yang hadir sama, wakil daripada JKDM, Nor Anita Yusoff dan wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supt. Saiful Bakri Ahmad Tajuddin.

Dalam pada itu katanya, untuk rekod, pelaksanaan Operasi Pematuhan Cukai ini merupakan siri kelapan dan kesinambungan kepada beberapa operasi yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu Ops Hidang di Pulau Pinang; Ops Borneo di Sabah dan Sarawak; Ops Zapin di Johor; Ops Gading di Pahang; Ops Labuan di Labuan; Ops Pantai Timur di Terengganu dan Kelantan dan Ops Mega Corp di Lembah Klang.

“Lima aktiviti operasi percukaian utama menjadi fokus yang ditekankan meliputi aktiviti audit, siasatan, pungutan, guaman dan Lawatan Banci Bisnes (LBB).

“Pihak JKDM akan memberi tumpuan kepada aktiviti LBB yang menyasarkan pembesaran asas percukaian termasuk mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang berpotensi untuk didaftarkan manakala LHDN akan mengenal pasti pembayar cukai yang menjalankan
cash economy dan warga asing yang menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif
LHDN dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kerana operasi ini mendapat sokongan dan kerjasama padu dari pihak JKDM.

Tambah beliau, kerjasama strategik dua agensi penting ini mampu menghasilkan impak besar terutamanya dalam aktiviti penguatkuasaan serta pematuhan cukai secara bersama demi meningkatkan hasil negara.

“Diharap sinergi serampang dua mata ini akan terus diperkukuh dalam memastikan agenda percukaian nasional dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan cukai yang akan menyumbang kepada kutipan hasil yang mampan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button