Paris 2024: Beregu campuran negara diundi bertemu Korea Selatan, miliki peluang cerah ke separuh akhir
PARIS – Pasangan beregu campuran sensasi negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempunyai peluang cerah untuk menghadiahkan sebutir pingat selepas diundi bertemu pasangan Korea Selatan dalam peringkat suku akhir badminton Sukan Olimpik.
Beregu nombor satu negara yang juga pilihan kelapan kejohanan akan bertemu pasangan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang berada di ranking kelapan kejohanan dalam satu undian yang diadakan di Porte de La Chapelle Arena semalam.
Semalam pasangan negara itu membuat kejutan apabila menundukkan pasangan nombor dua pilihan kejohanan dari China selepas bangkit daripada kekalahan di set pertama sekali gus muncul juara Kumpulan D.
Kemenangan itu membolehkan pasangan negara mendapat undian yang lebih baik dan mengelak daripada bertemu pasangan pilihan utama dari China seawal peringkat suku akhir.
Dalam pada itu, hasrat China untuk membolot pingat emas dan perak dalam kategori itu tidak kesampaian apabila beregu nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong akan bertemu Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang ditewaskan Tang Jie-Ee Wei semalam.
Di atas kertas peluang Malaysia untuk layak ke separuh akhir cerah selepas lawan dari Korea Selatan itu mempunyai kekuatan yang seimbang.
Malah kemenangan ke atas pilihan kedua kejohanan semalam memberikan tonik tambahan kepada pasangan negara.
Mengikut rekod pertemuan, pasangan negara itu menang dua daripada tiga pertemuan antara kedua-dua pasangan itu.
Jika layak ke separuh akhir, pasangan negara itu akan bertemu pemenang antara beregu nombor satu Korea, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung atau pasangan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.
Sementara itu, aksi lain dalam kategori itu akan menyaksikan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun akan bertemu pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.