Berita Semasa

Kes kebakaran terbuka meningkat mendadak – KP JBPM

PUTRAJAYA – Bilangan panggilan kes kebakaran terbuka di empat negeri iaitu Perak, Selangor, Johor dan Sarawak meningkat melebihi 100 panggilan setiap hari minggu lalu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah panggilan harian mengenai pembakaran terbuka dicatatkan melebihi 100 kes pada 25 dan 26 Julai dan mencapai 249 panggilan pada Sabtu dan 244 pada Ahad.

“Purata jumlah panggilan harian untuk kebakaran terbuka biasanya antara 50 hingga 60, tetapi berlaku lonjakan mendadak disebabkan fasa monsun barat daya yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan jabatan itu di sini hari ini.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kebakaran terbuka yang biasanya melibatkan kawasan luas dan memerlukan masa yang lama untuk dipadamkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan kadar hujan rendah berterusan sehingga permulaan fasa peralihan monsun yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering sehingga pertengahan September.

Nor Hisham berkata, dari 17 Mei hingga 27 Julai, bomba merekodkan 2,491 kes kebakaran terbuka melibatkan kawasan pertanian, semak dan pembakaran sampah.

“Perak mencatatkan jumlah kes kebakaran terbuka tertinggi dengan 515, diikuti Selangor dengan 344 kes dan Terengganu dengan 289 kes.

“Pada bulan Jun sahaja, sebanyak 685 kes kebakaran terbuka telah direkodkan,” katanya lagi.

Nor Hisham berkata, jabatan itu akan melaksanakan operasi dengan lebih cekap dan mengenal pasti kawasan panas di mana kebakaran berisiko berlaku, seperti tapak pelupusan sampah, dan menjalankan pemantauan rapi serta melibatkan bomba komuniti dalam operasi tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button