Malaysia tegas kutuk serangan terbaharu zionis ke atas Kem al-Mawasi
PUTRAJAYA – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman berterusan rejim Israel, termasuk tindakan rejim melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian al-Mawasi, semalam.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, serangan tersebut jelas menunjukkan kezaliman dan sikap rejim tersebut yang langsung tidak menghormati nyawa manusia selain bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman berterusan oleh rejim Israel.
“Serangan ini bercanggah dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa kerana ia dilakukan di zon ‘selamat’ seperti yang ditetapkan oleh Israel sendiri untuk rakyat Palestin,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Terbaharu, Kementerian Kesihatan di Tebing Gaza memaklumkan angka terbunuh dalam serangan tersebut telah mengorbankan 90 nyawa manakala lebih 300 lagi cedera dalam kempen pengeboman ganas terbaharu dilancarkan rejim ke atas ‘bandar khemah’ di Rafah.
Pembunuhan beramai-ramai itu menyasarkan zon selamat di kem al-Mawasi iaitu tempat perlindungan puluhan ribu penduduk di selatan Gaza yang hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lalu, dan berlaku ketika orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih.