141 anggota Maritim Malaysia terima kenaikan pangkat
PUTRAJAYA – Seramai 141 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima kenaikan pangkat oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) Maritim Malaysia.
Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi 59 orang Bintara Kanan Maritim Gred T8 dan 82 orang Bintara Muda Maritim Gred T6.
“Semangat, tekad, disiplin dan kesungguhan individu dalam melaksanakan tugas merupakan kunci utama untuk mencapai sesuatu kejayaan.
“Justeru, saya berharap agar prestasi cemerlang anggota yang menerima pemangkuan pangkat ini kekal diteruskan agar ia dapat menjadi sumber inspirasi serta contoh yang baik kepada warga agensi yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Maritim Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat kepada 10 orang pegawai lain-lain pangkat yang diadakan di ibu pejabat Maritim Malaysia, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Mohd Norzam Mustapa; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah serta pengarah-pengarah bahagian ibu pejabat Maritim Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan baki pemakaian pangkat kepada 131 anggota akan disempurnakan di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim di seluruh negara mengikut tempat pegawai berkenaan bertugas.