PM mahu pengurusan syarikat bawah YPB terjemah visi, dasar kerajaan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pengurusan syarikat-syarikat di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh didasari dengan mandat yang diberikan sejak penubuhannya.
Perdana Menteri berkata, seperti yang beliau umumkan dalam Belanjawan 2024, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah di bawah pemilikan YPB adalah sebahagian daripada strategi pemusatan institusi pelaburan bumiputera melalui YPB.
“Selain pulangan kewangan kepada pelabur, penting bagi diterapkan inisiatif pembangunan masyarakat terkait ilmu pengurusan kewangan, keusahawanan dan inovasi.
“Selain itu, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah PNB perlu menjadi peneraju dalam menyokong usaha Kerajaan terkait hala tuju dan isu seperti ekonomi hijau, pemodenan industri pertanian dan gaji yang setimpal,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB Bilangan 1 Tahun 2024, hari ini.
Tambah Anwar, ia mempunyai peranan penting dalam agenda pembangunan bumiputera melalui kumpulan syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).