CYBERJAYA – Kerajaan negeri Sabah akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru (SIBEC) 2024 pada 2 hingga 4 Sept depan.
Persidangan selama tiga hari ini merupakan sebahagian daripada inisatif kerajaan negeri dalam membangunkan Ekonomi Biru sebagai inisiatif baharu dalam meneroka khazanah laut untuk pembangunan ekonomi, menjana pekerjaan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan menjana hasil negeri pada masa akan datang.
Di samping itu, persidangan ini merupakan kesinambungan kepada Persidangan Synedrio Sabah Maju Jaya: Eksplorasi Kekayaan Baharu menerusi Konsep Ekonomi Biru di Sabah (SMJ EKOB 2023) yang dianjurkan pada 14 Disember tahun lepas.
Untuk rekod, Ekonomi Biru merujuk kepada pemuliharaan dan pengurusan mampan ekosistem lautan yang lebih sihat, yang mana akan menjadikan kawasan tersebut lebih lestari sekaligus menghasilkan sumber yang lebih produktif dan menguntungkan.
Konsep ini merangkumi empat komponen iaitu penuaian sumber hidup (bioteknologi makanan laut dan marin), pengekstrakan sumber bukan hidupan, pewujudan sumber baharu (mineral, tenaga dan air bersih), dan aktiviti komersil dan perdagangan di dalam dan sekitar kawasan lautan.
Kegiatan ekonomi ini seterusnya merangkumi 14 jenis industri termasuk akuakultur, perikanan, farmaseutikal, bahan kimia, minyak, tenaga boleh baharu, perkapalan, karbon biru, dan perlindungan dan restorasi habitat.
Selain pameran oleh pemain industri terlibat, turut diadakan sidang plenari dan pembentangan kertas kerja oleh para pakar.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai persidangan ini boleh melayari laman web https://blueeconomy.sabah.gov.my/