Arvind Krishnan lancar Akademi Ketua Vicky
KUALA LUMPUR – Sayap Pemuda Kongres India Malaysia (MIC) melancarkan “Akademi Ketua Vicky” bagi meningkatkan celik politik dalam kalangan belia kaum India.
Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan berkata, pelancaran akademi itu akan berfungsi sebagai entiti untuk mendekati golongan muda dan komuniti sekaligus merapatkan jurang antara kepemimpinan MIC dengan belia.
“Setelah bersama parti ini hampir 19 tahun, saya telah mengambil bahagian dan menjalankan peranan saya sebagai ahli parti dalam pelbagai peringkat.
“Ini telah melengkapkan saya pengalaman untuk menyumbang dan melaksanakan peranan baharu yang diberikan kepada saya,”katanya dalam satu siaran media hari ini.
Arvind berkata, sayap pemuda MIC sentiasa menjadi penyokong kuat untuk melindungi dan membangunkan kepentingan bukan sahaja masyarakat India di Malaysia tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Kami menyedari bahawa terdapat cabaran berterusan dalam persepsi terhadap MIC dalam masyarakat India dan kami komited untuk mengubah naratif yang menyelubungi parti ini.
“Sering kalah dalam permainan persepsi, tetapi kami berazam untuk mengubah arus dan mempamerkan impak sebenar dan sumbangan positif yang telah kami berikan kepada masyarakat India di Malaysia,” katanya lagi.
Arvind turut menyatakan, sebagai Ketua Pemuda baharu beliau berhasrat merapatkan jurang antara MIC dan belia dengan mendengar dan mengambil cakna aspirasi serta cadangan mereka.
“Saya percaya dengan sokongan belia dan masyarakat yang lebih luas akan dapat memulihkan imej parti ini dan mengukuhkan komitmen kita untuk menyantuni keperluan semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat India,” katanya lagi.
Arvind Krishnan dipilih tanpa bertanding sebagai Ketua Pemuda MIC yang baharu setelah tiada pencalonan lain bagi merebut jawatan tersebut semalam.
Arvind di dalam kenyataannya juga memanjatkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran dan Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan, atas sokongan dan bimbingan yang tidak berbelah bagi.
Beliau juga mengiktiraf sumbangan tidak ternilai daripada mantan ketua pemuda Raven Kumar dan seluruh ahli jawatankuasa yang lalu atas khidmat bakti mereka kepada sayap pemuda MIC.