Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Nilai rampasan Kastam cecah RM350 juta setakat Mac lalu

PUTRAJAYA – Pelbagai jenis barangan bernilai RM350.18 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak RM124.3 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kastam buka kertas siasatan sebanyak 1,856 kes melibatkan 385 kenderaan dirampas berjumlah RM27.55 juta dengan cukai dan duti cuba dielak sebanyak RM34.47 juta selain minuman keras RM8.92 juta melibatkan cukai RM32.78 juta.

“Lebih RM10 juta rampasan membabitkan 125 juta batang rokok dengan nilai cukai RM93.07, dadah seberat 847.4 kilogram bernilai RM29 juta, tekstil RM3.85 juta dan lain-lain komoditi berjumlah RM83.75 juta,” katanya di sini hari ini.

Selain itu Ribuan berkata, pihaknya turut mengesan sindiket penyeludupan kenderaan seperti Toyota Vellfire dan Alphard yang dibawa masuk dari negara jiran sebelum dijual pada harga murah.

Dalam masa sama, pihaknya turut membuka siasatan terhadap 22 kes melibatkan penyeludupan barang subsidi seperti minyak masak, petrol dan diesel berjumlah RM323,365 setakat Mac lalu.

Ribuan berkata, Sabah merupakan antara negeri yang mencatat perolehan kes tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 330 kes diikuti Kelantan (226), Sarawak (231), Johor (191) dan Selangor (151).

“Pihaknya akan menempatkan 40 buah mesin pengimbas bagasi yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di pintu masuk negara, termasuk di kawasan strategik bermula penghujung Mei ini.

“Setakat semalam, kita berjaya membanteras 585.7 kilogram penyeludupan dadah melalui imbasan imej mesin pengimbas.

“Kita dibekalkan 20 ekor anjing pengesan dadah pada Jun ini bagi membanteras aktiviti itu,” katanya lagi.

Ribuan turut memaklumkan, terdapat peningkatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RXZ di Kelantan dengan menggunakan perahu melalui Sungai Golok.

“JKDM tidak menolak kemungkinan permintaan tinggi terhadap motosikal berkenaan sehingga mencecah RM16,000 sebuah yag menyebabkan kegiatan itu meningkat sejak kebelakangan ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button