Vern’s mohon maaf isu logo kasut seakan kalimah Allah
KUALA LUMPUR – Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung isu lakaran logo di tapak kasut keluarannya dikatakan menyerupai kalimah Allah yang tular sejak semalam.
Vern’s Holding dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.
Katanya, logo tersebut 100 peratus telah diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.
Bagaimanapun, pihaknya mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.
“Kami pihak pengurusan Vern’s telah dimaklumkan mengenai satu isu yang telah menyinggung ramai pihak terutama yang beragama Islam.
“Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki mendakwa kasut yang dibelinya memaparkan logo seakan kalimah Allah.
Pengguna Facebook, Mohd Haridz yang membeli sepasang kasut buat isterinya terkejut selepas mendapati terdapat seakan perkataan Allah pada tapak kasut berkenaan.
Tambah syarikat terbabit, pihaknya dengan rasa rendah diri, memohon maaf semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.
“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” ujarnya lagi.