BERITA SEMASA

PM arah Jemaah Menteri turun padang tinjau situasi semasa harga, bekalan barangan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Jemaah Menteri supaya meluangkan lebih masa turun padang meninjau isu harga dan kuantiti barangan di pasaran.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan Anwar pada mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.

“Perdana Menteri menegaskan supaya menteri-menteri meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang melihat sendiri keadaan termasuk dalam isu berkaitan harga barang atau kuantiti barangan di pasaran.

“Ini susulan maklum balas diterima Perdana Menteri pada siri program dihadiri beliau (sebelum ini),” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak KL20 2024 yang akan berlangsung pada 22 hingga 23 April ini di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sidang ini merupakan acara khusus buat syarikat pemula niaga (start-up) dan dijangka akan disertai lebih 1,000 peserta dalam kalangan pelabur antarabangsa dan syarikat.

“Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri pada hari ini (juga), ada penegasan tentang betapa pentingnya program ini untuk mengetengahkan aspek bagi ‘start-up’ ataupun syarikat yang akan atau baharu dimulakan terutama dalam bidang teknologi.

“Insya-Allah selepas Aidilfitri akan ada siri pengumuman ataupun promosi yang akan diterajui oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.

Sebelum ini , Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor sebagai berkata, sidang ini bakal melonjakkan Malaysia dalam kelompok 20 teratas syarikat pemula niaga global menjelang 2030 selain memacu kedudukan negara ini bagi syarikat berkenaan serta modal teroka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button