Berhati-hati ketika membicarakan isu-isu sensitif – MUU
KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO (MUU) menasihati para pemimpin kerajaan dan pemuka masyarakat agar lebih berhati-hati dalam membicarakan isu-isu sensitif berkaitan Islam susulan isu kafir baru-baru ini.
MUU berkata, langkah berjaga-jaga harus diambil agar tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan orang Islam yang boleh mencetuskan perdebatan dan tuduh menuduh sesama umat.
“Tiada sebarang sensitiviti beragama dalam menggunakan istilah kafir merujuk kepada bukan Islam kerana ia merupakan istilah dalam agama Islam. Malah, ia merupakan perkataan yang sentiasa disebut oleh umat Islam apabila membaca surah-surah yang menjadi wirid harian seperti surah al-Kafirun dan dalam zikir seperti lafaz takbir hari raya.
“Namun, dari sudut panggilan apabila berbicara dengan bukan Islam, dari sudut hikmah dakwah, sebahagian ulama kontemporari seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh Muhammad Soleh al-Munjid berpandangan tidak wajar memanggil seorang bukan Islam sebagai “Wahai kafir” kerana ia meliarkan mereka daripada Islam dan menambahkan kedegilan untuk menerima Islam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.
Dalam pada itu, MUU turut menasihati masyarakat Islam agar tidak gopoh mengulas, menyebar serta membuat sangkaan dan tuduhan melibatkan maruah beragama seorang saudara Islam apabila berbangkit apa-apa isu agama daripada ucapan dan tulisan seseorang sebelum mendapatkan penjelasan maksud dan tujuannya.
MUU turut mengaitkan nasihat Khalifah Umar bin al-Khattab (r.a) berkenaan sifat sangka baik “Janganlah kamu menyangka terhadap satu kalimah yang keluar dari mulut saudaramu melainkan kebaikan sedang kamu masih ada ruang menanggung maksud yang baik”.