Perdana Menteri lulus RM14 juta bagi Projek ICQS Wang Kelian
KANGAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi Projek ICQS Wang Kelian, bagi menyelesaikan dengan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.
Anwar berkata, peruntukan tambahan itu adalah bagi menyediakan keperluan mesin pengimbas di pelabuhan darat, serta peruntukan mengurus bagi kerajaan negeri Perlis.
“Kerajaan Persekutuan yakin potensi besar Perlis sebagai destinasi pelancongan dan mencadangkan penyelesaian bagi perbezaan harga makanan dengan negara jiran untuk menarik lebih banyak pelancong ke Perlis.
“Melalui perbincangan ini juga Perdana Menteri yakin usaha untuk mengatasi masalah ini akan meningkatkan jumlah pelancong yang berkunjung ke destinasi pelancongan di Perlis dan dorongan positif kepada ekonomi tempatan dalam industri pelancongan negara,” katanya dalam hantaran di laman X hari ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut adalah Menteri Besar Perlis, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Mufti Perlis, serta wakil-wakil daripada ketua jabatan dan agensi kerajaan pusat dan negeri yang terlibat dalam pembangunan negeri Perlis.
Perdana Menteri kemudian menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni AlMarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar.
Dalam pertemuan selama lebih satu jam itu Perdana Menteri bertukar pandangan terkait hal ehwal kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan di Perlis yang memerlukan tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.
“Penghargaan setingginya atas kesudian menerima patik menghadap hari ini.
“Mendoakan kesembuhan dan keafiatan berpanjangan buat Tuanku, Insya-Allah,” katanya.