PM zahir rasa sedih dengan kes rasuah Kastam di KLIA
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa sedih berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan berlaku di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, kes yang mengakibatkan negara menanggung kerugian hampir RM2 bilion itu tidak boleh diambil ringan walapun ia membabitkan jabatan kecil di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguat kuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.
“Tetapi masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk berita baharu dari Kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini hari ini.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.
Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.
Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.