Stoking kalimah Allah: KK Mart, Xin Jian Chang didakwa di mahkamah esok
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara akan membuat pertuduhan terhadap Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, esok.
Menurut Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan, turut didakwa ialah pengarah-pengarah syarikat tersebut.
Katanya, mereka akan didakwa di bawah seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana telah dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan cara mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran bagi tujuan jualan.
“Pada masa yang sama, Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarah-pengarah syarikat tersebut juga akan dituduh di bawah seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana telah bersubahat sebagai pembekal stoking bercetak kalimah Allah kepada Syarikat KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd,” katanya.