Isu peruntukan MP pembangkang dibincang dalam masa terdekat
PUTRAJAYA – Kerajaan akan membincangkan isu peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam masa terdekat termasuk mempertimbangkan penubuhan pasukan rundingan jika perlu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan dibawa ke perbincangan Kabinet pada minggu depan selepas pertemuan dengan Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Kita kena bertemu dengan Ketua Whip dahulu. Kemudian akan dapat arahan daripada Kabinet. Jika perlu perbincangan lanjut kita akan bentuk pasukan untuk rundingan,” katanya selepas merasmikan Laman Petra di Menara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli ; Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Mohamad Razif Abdul Mubin.
Fadhillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk seri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin pembangkang di pejabatnya semalam.
Laman yang terletak di aras lobi menara itu menempatkan pelbagai spesies tumbuhan termasuk herba dibina sebagai ruang yang menawarkan pengalaman ‘istirehat’ seperti berada di hutan tropika.
Pada majlis yang sama, Fadhillah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada kira-kira 40 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah serta kumpulan sokongan Gred 18 dan ke bawah kementeriannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








