Empat wanita mengaku salah miliki video lucah ‘Hot Daddy’
Kuala Lumpur: Empat daripada enam wanita yang dikaitkan dengan video terlampau ‘Hot Daddy’ dalam aplikasi X didenda antara RM2,500 hingga RM4,800 oleh tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki video lucah dalam telefon bimbit dan peranti masing-masing, semalam.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Noorelynna Hanim Abd Halim, Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu ke atas penganggur, Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22; pemandu pelancong, Amira Natasha Mohammad, 26; penuntut universiti, Nur A’liaa Muhamad Rosly, 22, dan eksekutif pemasaran Farah Adila Hanum Khairuddin, 36, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Bagi kesalahan itu, Nurnabilah Ayuni dan Amira Nastasha masing-masing didenda RM3,000, Nur A’liaa didenda RM4,800 manakala Farah Adila didenda RM2,500, memetik laporan Harian Metro hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara antara sebulan hingga enam bulan penjara, sekiranya mereka gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun, dua lagi wanita iaitu akauntan, Norfatihah Ramle, 30, dan penuntut kolej Felecia Lisa Nandong, 21, tidak mengaku bersalah masing-masing di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin dan Majistret M S Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, enam wanita itu didakwa dalam milikan masing-masing terdapat video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini jam 5 petang, 30 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 12 Mac dan 26 Mac ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam lagi wanita bagi membantu siasatan berhubung kes ‘Hot Daddy’ yang menjalankan aktiviti merakam dan menjual video melakukan hubungan seks dengan lebih 20 wanita melalui aplikasi media sosial.elepas pertuduhan dibacakan.