Mangsa ketiga ditemui, tanah lokasi dipercayai diceroboh
CAMERON HIGHLANDS – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) berjaya menemukan mangsa ketiga daripada lima individu dipercayai tertimbus dalam tanah runtuh di Blue Valley di sini, pukul 12.15 tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, mayat ketiga itu ditemui dalam tempoh kurang 24 jam penemuan mayat kedua iaitu pada pukul 12.05 tengah hari semalam.
Katanya, mangsa lelaki yang belum dikenal pasti itu dijumpa di sektor pencarian D.
“Pegawai dari Unit Forensik D10 Bukit Aman akan sampai di sini untuk mengenal pasti identiti mangsa yang dijumpai,” katanya di khemah Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), hari ini.
Menurut Azri, identiti dua mayat yang dijumpai semalam masing-masing dikenal pasti sebagai Law Ha Phey, 36 dan Ki Shing Om, 48.
Tiga lagi mangsa yang dilaporkan hilang adalah Shing Law Har, 56, Om Myu, 37, dan seorang perempuan dikenali sebagai Thang Moung, 25, isteri kepada Ha Phey.
Sementara itu, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata, lokasi kejadian yang merupakan kebun sayur dipercayai diusahakan secara haram sejak lebih setahun lalu.
Katanya, tanah berkenaan dipercayai diusahakan oleh seorang lelaki berusia 31 tahun yang sebelum ini pernah melalui proses sitaan pada 10 April 2030.
“Kebun seluas 4.31 hektar di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi D itu pernah disita oleh Jabatan Perhutanan pada April tahun lalu selain pengusahanya turut pernah ditahan sebelum ini.
“Pemilik kebun berusia 31 tahun itu pernah melalui proses sitaan pada 10 April 2023 selepas mengusahakan kebun di situ,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








