KBS lancar Kod Sukan Selamat, hindar keganasan mental dan fizikal komuniti sukan
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Kod Sukan Selamat sebagai panduan komuniti sukan berkuat kuasa hari ini.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata, kod tersebut bertujuan untuk melindungi komuniti sukan daripada sebarang bentuk penderaan, gangguan dan keganasan dalam sukan yang menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.
Katanya, kod tersebut juga akan mengukuhkan aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan Malaysia secara menyeluruh.
“Kita gunakan definisi mengikut akta-akta yang terpakai di Malaysia dan kita juga menggunakan piawaian Olimpik supaya konsisten. Sebagai contoh, kalau atlet itu bertanding di luar negara, kalau ada kes yang berlaku piawaian itu konsisten kerana kita ikut piawaian antarabangsa dan akta di Malaysia.
“Yang paling penting kita ada mekanisma pengaduan kita bantu pengadu tahu dan faham siapa yang mereka boleh jumpa untuk laporkan dan bagaimana badan sukan mengendalikan aduan tersebut.
“Jadi untuk kita beri teladan yang lain kita mulakan agensi di bawah KBS dahulu. Kes-kes yang berlaku di bawah selian KBS akan dikendalikan oleh PIC.
Beliau berkata dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kod Sukan Selamat di Dewan Podium KBS, di sini, hari ini.
Sebanyak 31 buah badan sukan dan 16 jabatan serta agensi di bawah KBS telah hadir menandatangani perakuan sokongan kepada Kod Sukan Selamat pada hari ini.
Tegasnya, Semua badan sukan dan organisasi berkaitan sukan perlu membangunkan polisi sukan selamat dalam ekosistem sukan masing-masing.
Tambahnya, perkara tersebut adalah selaras dengan pindaan Jadual Kedua dan Ketiga, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) yang telah berkuatkuasa pada 10 Mac 2023.