Berita Semasa

Bersedia kenaikan tambang bas sekolah

CYBERJAYA – Ibu bapa terutamanya di Lembah Klang diminta bersedia dengan kenaikan tambang bas sekolah untuk sesi 2024/2025 bermula Mac ini.

Laporan portal FMT menyebut Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat sebagai berkata, jangkaan kenaikan antara RM10 hingga RM20 mengikut lokasi itu tidak dapat dielakkan.

Katanya, ia susulan pelaksanaan perintah gaji minimum RM1,500 pada Julai tahun lalu serta harga alat ganti import yang lebih mahal susulan penyusutan nilai ringgit.

“Untuk kenaikan tambang ini, memang ada permintaan daripada pengusaha tetapi pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada pengusaha yang biasanya semua itu bergantung terhadap penyata untung rugi mereka.

“Ia juga bergantung kepada kata sepakat antara operator bas sekolah bersama ibu bapa,” katanya dalam laporan tersebut.

Untuk rekod, tambang bas sekolah tidak dikawal oleh kerajaan sejak 1 Jan 2015, dan pihak industri dibenarkan menetapkan sendiri kadar perkhidmatan masing-masing.

Mengulas lanjut, Amali berkata kos kenaikan antara RM10 hingga RM20 itu masih rendah, mengambil kira pelajar menaiki bas sebanyak 44 kali dalam sebulan.

“Ibu bapa jangan lihat kenaikan itu secara rambang, tetapi perlu dihitung berdasarkan harian.

“Contoh jika kenaikan pada kadar maksimum RM20, sehari hanya peningkatan sekitar RM0.90 sen dan jumlah itu masih berpatutan,” katanya lagi.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada pengusaha bas yang berdepan masalah di mana ibu bapa tidak mahu membayar tambang bas sekiranya cuti sekolah lebih dua minggu.

“Pendapatan kami bukan berdasarkan perjalanan harian atau mingguan, tetapi dibayar mengikut sesi persekolahan,” katanya sambil mendakwa tindakan itu memberi tekanan kepada pengusaha kerana perlu
menanggung kos operasi sepanjang tahun, termasuk kos selenggara wajib setiap tiga bulan.

Show More

Related Articles

Back to top button